Assalamualaikum warahmatullah,
Bersua kembali. Lama tak conteng-conteng blog. Harap semuanya sihat sentiasa. Saya lepak sini kejap buat blog. Nanti lepas ni kembali sibuk semula. Hehe.. Baik, kali ini saya ambil entri daripada emel yang diterima tahun 2010. Dah lama tersimpan. Hari ni kemaskini emel. Banyak emel sampah. So, buang mana yang tak berguna, simpan mana yang berfaedah. Antara emel yang saya terima ialah berkenaan 20 Amalan Murah Rezeki. Jom kita baca. Buat renungan kita bersama. Peringatan untuk diri saya juga..
Semua
orang impikan rezeki yang banyak, mudah, berkat serta makmur, termasuklah saya.
:) Dalam pekerjaan kita seharian mencari rezeki, mestilah sentiasa niatkan
dalam hati supaya Allah mengurniakan kita dengan rezeki yang halal, berkat,
mudah serta luas. Terdapat amalan-amalan yang boleh menjadi sebab Allah
melimpahi hambaNya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberianNya.
Berdasarkan
konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap
hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi
punca kebaikan dunia dan akhirat.
Di antaranya:-
1. Menyempatkan diri beribadah
Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti
firman-Nya dalam hadis Qursi: “Wahai
anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya
dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu
dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi,
Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)
2.
Memperbanyak istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di
depan Allah, yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya
lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Rasulullah SAW
: “Barang siapa memperbanyak
istighfar maka Allah SWT akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan
segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud,
an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)
3.
Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar
tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah
malah menutup pintu rezeki. Sabda Rasulullah SAW : “… dan seorang lelaki akan
diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)
4.
Sentiasa ingat Allah SWT
Banyak
ingat Allah SWT buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki
yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya: “...(iaitu) orang-orang beriman dan
hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan
mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Surah
Ar-Ra’d, ayat 28)
5.
Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam
hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah SAW berpesan agar siapa yang ingin panjang
umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan
menyambung tali kekeluargaan. Rasulullah SAW juga bersabda: “Siapa berbakti kepada ibu bapanya
maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Hadis Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani,
al-Asybahani dan al-Hakim)
Mendoakan
ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Rasulullah
SAW : “Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya
nescaya terputuslah rezeki (Allah) daripadanya.” (Hadis Riwayat al-Hakim dan
ad-Dailami)
6.
Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah
menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir
miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Rasulullah SAW : “Tidaklah kamu diberi pertolongan
dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Hadis Riwayat Bukhari)
7.
Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam
bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Rasulullah SAW : “Siapa yang menunaikan hajat
saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Hadis Riwayat Muslim)
8.
Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita
tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan
kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu
a’lam.
9. Buat
kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata: “Sesungguhnya
kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan
disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan
rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain
mengutuknya.”
10.
Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah SAW, berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian
sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.
11.
Menjalin silaturrahim
Rasulullah
SAW bersabda : “Barang
siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia
menghubungi sanak-saudaranya.” (Hadis
Riwayat Bukhari)
12.
Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah SAW dan meminta pedoman
mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda: “Sentiasalah
berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid
al-Walid)
13.
Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu
rezeki. Nabi SAW bersabda kepada Zubair bin al-Awwam: “Hai Zubair, ketahuilah bahawa
kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla
kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian
kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang
menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)
14.
Melazimi solat malam (tahajud)
Ada
keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi
sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan
Allah.
15.
Melazimi solat Dhuha
Amalan
solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti
harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, jangan
sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang
(solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)
16.
Bersyukur kepada Allah
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah.
Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman: "Demi sesungguhnya! Jika kamu
bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika
kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras." (Surah Ibrahim, ayat 7)
Firman-Nya lagi: “…
dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Surah ali-Imran, ayat 145)
17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu.
Zikir
dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan
melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya
pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan
rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika
dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh
menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.
Salah satu nama Allah, al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat
menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah, bukalah hati kami untuk
mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya 'Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan
baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu
a’lam.
18.
Berdoa
Berdoa
menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah, penuh bergantung dan mengharap
pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta
kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.
19.
Berikhtiar sehabisnya
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis
sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan
yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang
dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)
Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang
boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang
dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim
lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak
dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat
dijauhinya yang haram, dan sebagainya.
20.
Bertawakal
Dengan
tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah. Firman-Nya: “Barang siapa bertawakal kepada
Allah, nescaya Allah mencukupkan (keperluannya) .” (Surah at-Thalaq, ayat 3)
Nabi
SAW bersabda: “Seandainya kamu
bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi
rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah
kenyang.” (Riwayat Ahmad,
at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)
Kesemua
yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan
takwa, Allah akan beri “jalan
keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari
jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (Surah
at-Talaq, ayat 2-3)
Pendek
kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya,
kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab
jatuhnya kasih sayang Allah, lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan
rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.
Renung-renungkan
dan marilah kita sama-sama beramal. Mudah-mudahan Allah SWT melimpah-ruahkan
rezeki-Nya kepada kita. Amiin.
Sampai
bersua lagi,
Assalamualaikum wbt.
Klik LIKE if anda menyukainya & SHARE. Tq :)
Klik LIKE if anda menyukainya & SHARE. Tq :)
No comments:
Post a Comment